PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan penyebaran maklumat berhubung intipati Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 4 Mac lalu.
Difahamkan, maklumat itu disebarkan dan dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, segala maklumat yang terkandung dalam sebaran tersebut adalah tidak benar dan palsu.
Beliau berkata, maklumat yang tular itu tidak mempunyai kaitan sama sekali terhadap mana-mana mesyuarat MPT yang telah berlangsung.
“Sehubungan itu, Bersatu akan membuat laporan polis terhadap penyebaran berita palsu itu bagi menjejaki dalang di sebalik penyebarannya.
“Kami tidak teragak-agak untuk menggunakan semua lunas perundangan yang ada bagi melindungi kepentingan parti serta ahli Bersatu,” katanya.
Sebelum ini tular mengenai maklumat yang dikatakan sulit berhubung intipati Mesyuarat MPT Bersatu pada Khamis lalu.-K! ONLINE