JAKARTA – Kecantikan dimiliki seorang penjual ayam menarik perhatian pengunjung di Pasar Panorama Lembang, Kabupaten Bandung Barat, lapor portal Suara.com.
Alma Khanza Syalbia, 19, yang berasal dari Gegerkalong, Kota Bandung mengakui bahawa dia memilih untuk bekerja sebagai penjual ayam di pasar tersebut bermula tengah malam hingga pagi.
“Saya suka menjual ayam, malah ramai yang memberi sokongan,” katanya.
Dia mula bekerja di pasar itu sejak Mac tahun lalu, namun sebelum bergelar penjual ayam, Alma Khanza terlebih dahulu berniaga bakso.
Gadis itu berkata, setelah menamatkan persekolahan pada 2019, dia pernah terfikir untuk berniaga menjual ayam seperti ahli keluarganya yang lain.
Justeru, katanya, dia bersama rakannya membuka gerai menjual ayam di Pasar Panorama Lembang.
“Ada saudara saya yang menternak ayam, jadi saya gunakan kesempatan yang ada,” katanya.
Secara purata, dia menjual kira-kira 2.5 tan ayam sehari menerusi beberapa gerai miliknya dengan nilai jualan mencecah antara 30 juta hingga 50 juta rupiah (RM8,525 hingga RM14,208).
Menurutnya, dia pernah menjual sehingga 9 tan ayam sehari. – Agensi