fbpx

Helah Macau Scam, penjawat awam rugi ‘serah’ RM28,600

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rupiah

JOHOR BAHRU – Seorang penjawat awam kerugian sebanyak RM28,600 gara-gara terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 35 tahun di Balai Polis Tampoi, pada pukul 8.40 malam semalam.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa menerima panggilan seorang lelaki melalui talian +08795052222 yang memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM16,000.

“Seterusnya, panggilan itu kononnya disambung kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Pahang dan mangsa telah berurusan dengan seorang lelaki Melayu yang menyamar sebagai pegawai polis dengan memperkenalkan dirinya sebagai Asisten Superintendan (ASP) Ismail.

“Kemudian, lelaki tersebut telah menipu dengan mengatakan telah membuat semakan atas nama mangsa dan memaklumkan mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram dan kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Rupiah turut memberitahu, mangsa juga telah diminta oleh lelaki berkenaan untuk menyerahkan kesemua jenis akaun bank milik mangsa beserta nombor pin keselamatan.

“Mangsa turut diarahkan pergi ke mesin pengeluaran wang berdekatan untuk memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun Maybank bagi tujuan semakan nombor siri wang tersebut.

“Tanpa berfikir panjang, kira-kira pada pukul 5.28 petang semalam, mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM28,600 ke dalam akaun tersebut,” ujarnya.

Tambah Rupiah lagi, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah pulang ke rumahnya.

“Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan kepada akaun bank individu yang tidak dikenali.

“Orang ramai juga diminta agar tidak mudah panik dan cemas sekiranya dihubungi individu tidak dikenali,” jelasnya lagi.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI