LIVERPOOL – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel memuji barisan pemainnya selepas berjaya menewaskan Liverpool 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi semalam.
Jaringan tunggal pemain tengah, Mason Mount pada minit ke-42 memastikan kemenangan The Blues, sekali gus menyaksikan pasukan itu melonjak ke kedudukan keempat liga.
Kata Tuchel, pemain-pemainnya menunjukkan keazaman yang cukup tinggi selain melakukan banyak percubaan ke arah pintu gol lawan sepanjang 90 minit perlawanan.
“Semua pemain bermain dengan kemahuan yang sangat tinggi selain mengawal permainan dengan baik. Keinginan untuk menang langsung tidak luntur.
“Saya sangat gembira kerana ini adalah salah satu perlawanan yang sangat penting. Kami masih ada 11 perlawanan liga musim ini dan perebutan kelompok empat teratas belum berakhir,” kata Tuchel.
Bekas jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) itu turut memuji pemain pertahanan, terutamanya Andreas Christensen yang semakin menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.
“Dia (Christensen) sangat berani serta bijak untuk mencabar pemain-pemain lawan. Selain itu, dia juga banyak membantu pasukan ketika melancarkan serangan,” ujarnya. – AGENSI