LIVERPOOL – Liverpool mengalami kekalahan kelima berturut-turut di Anfield selepas tewas 0-1 kepada Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Jaringan tunggal perlawanan menerusi pemain tengah, Mason Mount pada minit ke-42 sudah cukup untuk menambah derita The Reds yang menghuni tangga ketujuh liga.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan, skuad kendaliannya perlu kembali ke prestasi sebenar pada perlawanan akan datang.
“Kualiti individu yang dimiliki Mason Mount jelas menjadi perbezaan ketara pada perlawanan ini. Saya akui ia satu perlawanan yang sangat sukar untuk kedua-dua pasukan.
“Saya tidak mahu jadikan Anfield sebagai alasan kerana kami memang gagal untuk bermain seperti yang diharapkan. Kekalahan ini satu tamparan hebat untuk Liverpool,” kata Klopp.
Pada masa sama, beliau turut mempertahankan keputusannya mengeluarkan Mohamed Salah dengan memasukkan Alex Oxlade-Chamberlain.
“Dia (Salah) dilihat tertekan pada perlawanan ini, jadi saya fikir ia keputusan tepat supaya dia boleh berehat,” ujarnya.
– AGENSI