LENGGONG – Penduduk Kampung Belum Baru di sini kini mampu menarik nafas lega apabila sebuah jambatan sementara siap dibina bagi memudahkan perjalanan mereka untuk ke pekan Lenggong berbanding sebelumnya apabila terpaksa melalui jalan raya sejauh empat kilometer.
Jambatan Bailey sepanjang kira-kira 33 meter itu siap dibina oleh sepasukan anggota Skuadron Kedua Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD) dan dibantu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Kinta serta Jabatan Pengairan dan Saliran daerah Lenggong.
Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Mohd. Azmurin Mat Khalib berkata, kerja-kerja pemasangan jambatan itu bermula Isnin lalu yang mengambil masa kira-kira tiga hari untuk disiapkan.
Menurut beliau, pembinaan jambatan itu hanyalah sementara sehingga sebuah jambatan baharu dibina oleh pihak JKR yang dijangka siap pada Oktober nanti.
“Pemasangan jambatan ini bagi menghubungkan penduduk kampung dengan pekan Lenggong dan kawasan sekitar sekali gus dapat memudahkan mereka yang selama ini terpaksa melalui jalan agak jauh.
“Bantuan kerja-kerja pemasangan yang diberikan ini adalah selari dengan tonggak kelima perintah ulung Panglima Tentera Darat yang memberi penekanan terhadap peningkatan hubungan Tentera Darat dengan masyarakat awam,” ujarnya.
Terdahulu, Mohd. Azmurin menyempurnakan majlis penyerahan jambatan Bailey
kepada Penghulu Mukim Kenering, Omar Fazilah Mohamad di Kampung Belum Baru di sini. -K!ONLINE