CYBERJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yakin usaha Malakat Ekosistem membangunkan teknologi Halal Blockchain Network (HBN) iaitu sebuah sistem pengesanan rantaian bekalan makanan halal akan dapat menambah baik sistem sedia ada.
Timbalan Menterinya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, usaha itu disokong kementerian selepas banyak isu dilaporkan kebelakangan ini apabila pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan dengan memanipulasikan status halal produk daging.
“Saya yakin melalui HBN, ia dapat menambah baik sistem sedia ada yang dijalankan oleh kementerian serta agensi dan jabatan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam bersama-sama membantu memastikan bekalan makanan halal yang diterima oleh pengguna adalah suci dan terjamin.
“Selain itu, keraguan ke atas status daging import dapat diatasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran HBN di Malakat Mall di sini hari ini.
Che Abdullah berkata, kementerian sentiasa prihatin dan sedia bekerjasama dengan pihak yang mahu membantu perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat.
“Seperti HBN, saya difahamkan, ia suatu aplikasi pengesanan dan pengguna perlu mengimbas Kod QR yang terdapat pada bungkusan makanan dengan menggunakan QR scanner di telefon bimbit.
“Melalui aplikasi itu, pengguna akan dapat ketahui dari ladang mana lembu itu diternak dan di pusat penyembelihan mana ia disembelih menerusi info dan data rantaian teknologi HBN,” katanya. -K!ONLINE