PETALING JAYA – Dua lelaki yang merempuh kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Sungai Buloh dekat sini minggu lalu didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Mustaza Mustaffa, 35, didakwa atas lapan pertuduhan manakala rakannya, Khairul Fazily Fadzil, 40, atau dikenali sebagai ‘Bob Mah Sing’ berdepan dua pertuduhan termasuk cubaan membunuh anggota polis.
Mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.
Di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin, Mustaza didakwa cuba membunuh Koperal M. Amareisan dan Koperal Mohd. Edham Zakaria dengan mengundurkan kereta secara laju dan cuba melanggar dua anggota polis itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Persimpangan Lampu Isyarat Susur Kiri, Jalan Kuala Selangor Menghala ke Kepong, Damansara di sini 12.30 tengahari pada 26 Februari lalu.
Selain itu, Mustaza turut didakwa memiliki sebilah kapak berhulu kayu pada waktu, tempat dan tarikh sama.
Di mahkamah sama, Khairul Fazily didakwa atas pertuduhan berdamping dengan Mustaza yang memiliki senjata berbahaya pada waktu, tempat dan tarikh sama.
Di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim, Mustaza dan Khairul Fazily didakwa secara bersama menghalang dua anggota polis sama daripada menjalankan tugas pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.
Di Mahkamah Majistret sama juga, Mustaza turut didakwa melakukan khianat dengan merosakkan Toyota Vellfire, Lexus, Perodua Myvi serta sebuah lori dan satu pertuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan.
Kosmo! 26 Februari lalu melaporkan dua anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar sebuah kereta jenis Proton Waja yang dinaiki dua lelaki selepas merempuh dua kenderaan.
Salah seorang lelaki terbabit dapat ditahan, manakala seorang lagi suspek dikenali sebagai ‘Bob Mah Sing’ dapat meloloskan diri. – K! ONLINE