BAGI sesetengah kaki pancing mereka akan memilih untuk datang semula berulang kali ke kawasan memancing yang menjadi lubuk ikan.
Begitu juga bagi Muhammad Syufaad Ramli, 32, yang sentiasa mengunjungi Tuas Payar yang terletak di perairan Pulau Payar, Kedah untuk memburu tenggiri.
“Boleh dikatakan sebulan sekali atau dua bulan sekali saya akan datang ke Tuas Payar ini.
“Bagi kaki pancing di sebelah Utara, Tuas Payar ini menjadi destinasi wajib untuk mereka menjinak dan bertarung dengan tenggiri,” katanya.
Untuk menuju ke Tuas Payar, Syufaad dan rakan-rakannya menaiki bot di pangkalan Abang Yazid terletak berhampiran Jeti Nelayan Kubang Rotan di Kuala Kedah, Kedah.
Seawal pukul 7 pagi, bot yang disewa mereka bertolak ke Tuas Payar yang mengambil masa perjalanan antara 45 minit hingga satu jam.
Tetapi dalam perjalanan menuju ke destinasi tersebut, mereka berhenti sebentar di kawasan Tuas Darat bagi mendapatkan umpan ikan hidup untuk memancing tenggiri.
Antara umpan hidup yang mereka gunakan termasuklah ikan kembung, selar, pelata dan anak ikan cencaru.
Setelah umpan hidup yang diperlukan mencukupi, mereka meneruskan misi untuk memburu ikan yang tergolong dalam keluarga scomberomorus itu.
“Sebolehnya kami mahu tiba di Tuas Payar ini seawal yang boleh bagi membolehkan kami mendapatkan kawasan yang menjadi lubuk ikan tenggiri.
“Jika kami lewat tiba, kemungkinan lubuk itu akan diambil oleh pemancing lain terlebih dahulu,” kata Syufaad.
Setibanya ke lubuk yang dikehendaki, tanpa melengahkan masa Syufaad terus melontar joran miliknya.
Tidak sampai 20 minit, umpan yang dilekatkan di joran itu disambar oleh pemangsa dan dia berjaya menaikkan tenggiri pertama seberat hampir tiga kilogram (kg).
Dalam pada itu, Syufaad menjelaskan, bulan Oktober dan November merupakan musim ikan tenggiri banyhak di tuas tersebut.
“Boleh dikatakan jarang kami pulang dengan tangan kosong apabila datang ke tuas ini.
“Tetapi di tuas ini ada waktu tenggiri galak untuk meragut umpan. Ada ketika waktu pagi banyak kami mendapat hasil dan menjelang petang ia semakin berkurang. Begitu juga sebaliknya,” ujarnya.
Sementara itu, kunjungan ke tuas tersebut baru-baru ini juga memberikan pulangan yang cukup memuaskan kepada mereka.
Syufaad dan rakan-rakannya berjaya membawa pulang lebih 30kg ikan tenggiri.
“Tenggiri paling berat yang berjaya kami bawa naik adalah seberat 14kg.
“Untuk membawa naik ikan seberat itu, pertarungan biasanya mengambil masa hampir 10 minit,” katanya lagi.
Dalam pada itu, untuk memburu tenggiri di tuas ini, beberapa teknik memancing telah digunakan oleh mereka.
Antaranya mengilat atau casting, jigging dan menghanyutkan umpan hidup.
Untuk teknik casting, ia memerlukan kerajinan kerana pemancing perlu sentiasa melontar dan mengarau joran dengan menggunakan umpan tiruan.
Sementara bagi teknik jigging pula, pemancing akan membiarkan umpan jig turun ke bahagian bawah dasar laut.
Sementara itu, bagi teknik hanyut umpan hidup, joran akan dilekatkan dengan umpan hidup seolah-olah anak ikan bermain di permukaan.
Tali joran itu akan hanyut dibawa oleh umpan hidup tersebut sebelum ia disambar tenggiri.
Dalam pada itu, Syufaad menjelaskan, jika hasil yang mereka peroleh banyak, sebahagian daripada ikan tenggiri itu akan dijual kepada peraih yang sudah siap menanti di jeti sebaik mereka pulang.
“Harga yang peraih ambil untuk ikan tenggiri ini adalah sekitar RM21 hingga RM23 bagi setiap sekilogram,” katanya.