fbpx

Enam sekeluarga nyaris rentung, rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumah Zainab hangus dalam kebakaran di Kampung Lembaga, Gua Musang, hari ini.

GUA MUSANG – Enam sekeluarga nyaris rentung apabila rumah papan yang menjadi tempat berteduh di Kampung Lembaga di sini terbakar ketika mereka sedang lena tidur, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, keluarga terbabit terselamat selepas dikejutkan oleh beberapa jiran sebelum mereka bergadai nyawa meredah api bagi menyelamatkan diri.

Selain seluruh struktur rumah terbakar, sebuah van, sebuah kereta jenis Proton Iswara dan lima buah motosikal turut hangus dalam kejadian itu.

Mangsa, Zainab Yunus, 59, berkata, sebelum berlaku kebakaran, dia baru saja masuk ke bilik tidur selepas menadah air di dapur kerana tekanan air di rumahnya rendah pada waktu siang.

Dia yang merupakan seorang ibu tunggal memberitahu, secara tiba-tiba dia dikejutkan oleh dua anak dan tiga cucu yang tinggal bersama selepas melihat api marak membakar rumahnya.

“Saya mengalami sakit lutut dan kaki yang agak teruk telah diselamatkan anak sebelum dibawa ke rumah jiran.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga bersyukur meskipun tinggal sehelai sepinggang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor, pihaknya menerima panggilan kejadian sekitar pukul 4.06 pagi.

“Tiga jentera bersama sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi dan operasi mengawal kebakaran mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum api dapat dipadam sepenuhnya pada pukul 7.30 pagi,” ujarnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI