fbpx

Pang Ron fokus hadapi All England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PANG RON (kanan) bersama Yee See mahu memberi fokus kepada kejohanan All England selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Switzerland kelmarin.

SELEPAS ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama pada kejohanan badminton Terbuka Switzerland, pemain beregu campuran negara, Hoo Pang Ron tekad menebus kekecewaan tersebut.

Pang Ron yang bergandingan bersama Cheah Yee See tersingkir daripada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 300 selepas tewas 19-21, 17-21 kepada wakil Perancis, Ronan Labar-Anne Tran kelmarin.

Justeru, dia berharap dapat menggunakan masa yang ada bagi melakukan persiapan terbaik menjelang kejohanan Seluruh England (All England) 17 hingga 21 Mac ini.

“Sudah tentu kecewa apabila tersingkir seawal pusingan pertama, namun kami perlu pandang ke hadapan dan fokus kepada kejohanan seterusnya. Masih ba­nyak aspek permainan yang perlu diperbaiki.

“Fokus kami seterusnya adalah kejohanan All England, jadi kami akan gunakan masa yang ada untuk memperkemaskan permainan. Kami akan cuba tampilkan aksi lebih baik di sana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas kekalahan yang dialami kelmarin, pemain berusia 23 tahun itu tanpa berselindung mengakui dia melakukan banyak kesilapan sehingga menghadiahkan banyak mata percuma kepada pasukan lawan.

“Perlawanan itu bukanlah aksi terbaik kami kerana saya buat silap lebih daripada lima kali terutamanya ketika melakukan servis dan ia beri kelebihan kepada mereka.

“Saya juga akui kesilapan demi kesilapan yang dibuat membuatkan saya hilang keyakinan. Kemudian, segalanya serba tidak menjadi dan kami akur dengan kekalahan ini,” ujarnya.

Sebagai rekod, Pang Ron-Yee See pernah mencuri tumpuan sebelum ini apabila berjaya me­langkah ke separuh akhir Toyota Terbuka Thailand di Bangkok Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI