WASHINGTON, AMERIKA SYARIKAT – Syarikat teknologi multinasional, Amazon dilaporkan menjana keuntungan mencecah AS$13 bilion (RM55.28 bilion) hanya dalam masa satu hari disebabkan pandemik Covid-19, lapor Mirror.co.uk baru-baru ini.
Kejayaan itu sekali gus melonjakkan lagi kekayaan peribadi pengasasnya, Jeff Bezos, 56, sebagai individu paling kaya di dunia dengan peningkatan jumlah kekayaan sebanyak AS$189 bilion (RM803.63 bilion).
Menurut laporan The Guardian, keuntungan besar yang diperoleh itu adalah hasil kenaikan harga saham syarikat teknologi yang berpusat di Seattle, Amerika Syarikat itu selepas berjuta-juta pelanggan menggunakan perkhidmatan Amazon semasa sekatan dikuatkuasakan akibat virus Covid-19.
“Saham Amazon melonjak sehingga 70 peratus sejak awal tahun 2020 dengan peningkatan harga saham sebanyak lapan peratus pada harga AS$3,197 (RM13,593) sesaham,” lapor The Guardian.
Kenaikan yang dicatatkan itu adalah angka bersih terbesar pernah dilaporkan sejak Bloomberg mengesan berlaku perubahan harian kekayaan bilionair pada tahun 2012.
Badan amal dunia, Oxfam telah melabelkan tahap kekayaan yang dikecapi Bezos adalah sangat mengejutkan lebih-lebih lagi di saat banyak pihak memerlukan bantuan ekoran penularan pandemik Covid-19.
Sebelum ini, Bezos dilaporkan telah menderma sebanyak AS$100 juta (RM425 juta) kepada badan amal, bank makanan untuk mengurangkan beban, penduduk di AS selain menyalurkan dana berjumlah AS$25 juta (RM106.26 juta) ke dalam tabung Dana Bantuan Amazon bagi membantu kalangan pekerja perkhidmatan penghantaran. – AGENSI