LONDON – Sebuah syarikat di Britain mengundang kontroversi apabila menjual botol kaca yang didakwa berisi ‘udara pesisir paling segar’ pada harga mencecah £75 (RM425), lapor laman berita odditycentral.com.
Syarikat Coast Capture Air pada mulanya menjual udara dalam botol sebagai cenderahati dengan matlamat mendidik masyarakat tentang kepentingan udara segar di zaman moden yang penuh dengan pencemaran.
Bagaimanapun, penduduk dari kawasan tercemar di seluruh dunia mula membelinya untuk tujuan menghirup udara bersih setiap hati.
Mereka memberitahu syarikat tersebut bahawa udara dalam botolnya dapat membantu melawan kesan buruk udara tercemar. Justeru, Coast Capture Air meneruskan penjualan botol ‘tanpa isi’ itu dan meletakkan harga tinggi iaitu RM425 sebotol.
Menurut Coast Capture Air, pekerja-pekerjanya berusaha keras memastikan udara yang disimpan di dalam botol itu adalah paling segar di Cornwall, England.
“Setiap botol kaca Coast Capture Air diisi udara segar dari kawasan pesisir semula jadi di Britain,” demikian menurut penerangan di laman webnya.
Laman web itu turut memberitahu pengguna berhubung cara terbaik menghirup udara segar tersebut, iaitu dengan menikmatinya di lokasi yang senyap dan tenang.
Sebelum menghirupnya, pengguna perlu menghembus hidung mereka, menarik nafas menggunakan diafragma dan memastikan menutup semula botol selepas selesai menggunakannya. – Agensi