fbpx

Kisah Sajat, Acap dan misteri Jho Low

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUSTAPA LAKAWA, PENGARANG BERITA KOSMO.

DALAM peribahasa Melayu, ada ungkapan popular berbunyi bagai ayam disambar helang, yang membawa maksud orang yang hilang secara tiba-tiba.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula mentafsirkan hilang sebagai sesuatu atau seseorang yang tidak diketahui tempatnya, tidak kelihatan, ghaib ataupun telah lenyap.

Malaysia sebenarnya sarat dengan kisah-kisah orang hilang. Ada yang hilang asbab jenayah dan bencana, namun ramai juga yang hilang dengan sengaja.

Sejak kebelakangan ini, kecoh pula mengenai usaha Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengesan seorang usahawan kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman.

Ketika artikel ini ditulis, individu berusia 36 tahun itu yang dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sejak 24 Februari lalu masih belum ditemui.

Tiada siapa tahu di mana Nur Sajat berada. Malah, timbul pelbagai persoalan sama ada Nur Sajat sengaja menyembunyikan diri ataupun sedang disembunyikan.

Hakikatnya, Nur Sajat bukanlah ‘samseng’ seperti mana Bob Mah Sing yang sebelum ini tular dengan aksi beraninya bersama Proton Waja ketika melarikan diri daripada polis.

Nur Sajat juga bukanlah sehebat ‘penjenayah berbahaya’ seperti Mat Komando yang pernah menjadi buruan polis Malaysia selama lebih 200 hari.

Nur Sajat hanya dikenakan waran tangkap selepas dia gagal hadir bagi satu prosiding mahkamah. Ia adalah berkaitan pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Cumanya, nama Nur Sajat terlalu besar untuk cerita-cerita sebegini. Sehingga setiap usaha dan pergerakan pihak berkuasa menjadi bahan utama surat khabar.

Berbeza dengan kisah yang menimpa Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau lebih dikenali dengan panggilan Acap. Individu ini pernah menggemparkan Malaysia apabila kisah kehilangannya ketika mengikuti acara larian Gopeng Ultra Trail di kawasan Gua Tempurung, Kampar menjadi tular di media sosial.

Pada 24 Mac 2021 ini, maka genaplah tiga tahun kehilangan Acap, dan dalam tempoh itu, tiada seorang pun yang tahu apa yang terjadi pada lelaki ini.

Ramai yang mengaitkan kehilangan Acap dengan perbuatan makhluk halus, namun ada juga pihak yang mendakwa Acap sebenarnya tidak hilang!. Sehingga kini kisah Acap masih menjadi misteri.

Selain Sajat dan Acap, ada satu lagi ‘kehilangan’ yang sangat-sangat menggemparkan negara. Ia berkisar tentang ahli perniagaan bertaraf antarabangsa, Jho Low. Berbeza dengan Acap, Jho Low disahkan masih hidup, namun keberadaan anak Pulau Pinang ini masih belum disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa.

Jho Low sebenarnya sengaja menghilangkan diri. Kisah pemburuannya ekoran skandal rasuah 1MDB telah dibuat sejak tahun 2015, namun sehingga kini, tanda-tanda kepada penangkapan Jho Low masih samar.

Benar, sebagai rakyat kita hanya mengharapkan kepada sebuah penyelesaian dan jawapan berfakta. Seperti kata orang-orang tua, jika sudah tiada, tunjukkan kuburnya dan jika masih hidup, perlihatkan orangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI