BALIK PULAU – Kematian budak perempuan berusia dua tahun, Sophia Fatehah Wan Farhan Danial dipercayai berpunca daripada proses bantuan pernafasan (CPR) yang dilakukan pengasuhnya dan bukan disebabkan lemas akibat terjatuh di dalam besen.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar perubatan forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini mendapati berlaku kebocoran pada organ perut mangsa sehingga menyebabkan pendarahan dan pembekuan sistem darah.
“Pakar perubatan forensik berpendapat tiada unsur jenayah terkesan dalam penemuan kecederaan dalaman si mati.
“Kecederaan tersebut kemungkinan adalah berdasarkan usaha proses CPR yang telah dilakukan oleh pengasuh untuk menyelamatkan si mati setelah terjatuh dalam besen air serta tiada sebarang kecederaan yang mencurigakan pada badan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, mayat, Sophia Fatehah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Damar Laut kira-kira pukul 4 petang tadi.
Sebelum itu, mayat mangsa dibawa ke kediaman datuk dan neneknya di Permatang Damar Laut sejurus selesai proses bedah siasat kira-kira pukul 1 petang. – K! ONLINE