SABAK BERNAM – Seorang suri rumah tidak menyangka ‘tragedi’ Mac akan berulang kembali apabila kehilangan seorang lagi anak selepas terkorban dalam nahas runtuhan perancah besi yang sedang dalam pembinaan di Jalan Lingkaran Tengah (MMR2), Kuala Lumpur, semalam.
Nor Hayati Abdullah, 42, merupakan antara dua mangsa yang maut dalam nahas tersebut.
Menurut Hasmah Sohor, 77, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa anak bongsu lima beradik itu oleh seorang ahli keluarganya pukul 10 malam tadi.
Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya itu pada 25 Februari lalu.
“Saya sekeluarga masih terkesan dengan pemergian anak ketiga, Laila Hayati, 43, yang meninggal dunia dunia akibat kanser payu dara pada 9 Mac lalu.
“Tiada apa mampu saya ungkapkan ketika itu kerana kedua-dua anak ‘pergi’ dalam bulan sama namun tahun yang berbeza,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Kampung Jerang Belanga, Bagan Terap, Sungai Besar di sini, hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan dua penumpang wanita maut manakala tiga yang lain parah selepas sebuah van kilang dihempap perancah besi yang sedang dalam pembinaan di Jalan Lingkaran Tengah (MMR2) berdekatan Bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur semalam.
Kejadian pada pukul 5.58 petang itu berlaku selepas sebuah treler dari arah Seri Petaling menghala ke Ampang terbabas sebelum merempuh perancah besi berkenaan sehingga mengakibatkannya runtuh.
Mengulas lanjut, Hasmah menyifatkan Allahyarham Nor Hayati yang menetap di AU2 Keramat, Kuala Lumpur merupakan seorang yang penyayang dan rapat dengan ahli keluarga terutama anak saudaranya.
“Setiap kali arwah pulang bercuti, dia akan membawa semua anak saudaranya bersiar-siar di ke pekan Bagan Terap dan saya tidak menyangka ia kali terakhir menemuinya,” katanya. – K! ONLINE