MARAN – “Saya terkejut dengar berita ini, hanya tahu apabila pemberita datang dan saya sedia uruskan pengebumiannya”.
Demikian kata Mohamed Dolah,71, merupakan bapa angkat kepada Nurina Edwin Abdullah,47, yang maut dalam tragedi runtuhan besi di Jalan Lingkaran Tengah di Kuala Lumpur semalam.
Mohamed bertanggungjawab mengislamkan Nurina lebih 20 tahun lalu berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan mangsa ialah pada Februari tahun lalu ketika pengebumian suami mangsa di kampung itu yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Dia yang merupakan Imam di surau kampung berkenaan berkata, anak angkatnya yang berasal daripada Sarawak itu sering menghubunginya bagi bertanyakan mengenai ajaran Islam.
“Masa pengebumian suaminya, tidak banyak yang dia cakap dengan saya masa itu cuma dia bertanyakan bila lagi akan berjumpa ayah.
“Saya mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah dan saya bersedia menguruskan pengebumiannya sekiranya diminta berbuat demikan,”katanya ketika ditemui di Kampung Baru Chedung di sini hari ini.
Semalam dua penumpang wanita maut manakala tiga yang lain parah selepas sebuah van kilang dihempap perancah besi yang sedang dalam pembinaan di Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berdekatan bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur. -K! ONLINE