MELAKA – Polis mencekup tiga individu selepas dipercayai menggunakan gelaran Datuk dan Datin palsu yang didakwa diterima daripada Sultan Kerajaan Indragiri, Indonesia dalam serbuan di Bangi, Selangor, pada bulan lalu.
Dua individu ditahan adalah pasangan suami isteri berusia 43 dan 49 tahun yang juga mendakwa pengasas serta sekretariat Gabungan Datuk-Datuk Malaysia (GDDM), manakala seorang lagi lelaki berusia 57 tahun bertindak sebagai pegawai seranta bagi pertubuhan itu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, tangkapan itu merupakan susulan hasil risikan melibatkan sebuah majlis makan malam beradat kolaborasi Pertubuhan Usahawan Elit Malaysia dengan pertubuhan itu yang diadakan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini, pada 29 Ogos tahun lalu.
“Hasil risikan pasukan Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Melaka mendapati acara itu telah dihadiri kira-kira 120 ahli juga terdiri daripada Datuk-datuk palsu yang lengkap memakai pakaian istiadat.
“Susulan itu, pada 30 Januari lalu kita menahan tiga suspek termasuk pengasas pertubuhan itu dan hasil semakan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod sebagai penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Persekutuan (DKBPP) dan Darjah Kebesaran Bergelar Negeri (DKBPN),”katanya. -K! ONLINE