fbpx

Bilangan jemaah surau, masjid di Johor ditambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan pertambahan jemaah untuk solat fardu dan solat Jumaat di negeri ini berkuat kuasa esok.

Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, jumlah jemaah diputuskan berdasarkan keadaan dan perkembangan situasi semasa Covid-19 di setiap daerah.

Menurutnya, bagi daerah Johor Bahru dan Kulai, perubahan dibenarkan kepada seramai 100 jemaah tidak termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) dan Pegawai Masjid atau Surau untuk solat fardu dan solat Jumaat.

“Perubahan ini dibuat dengan mengambil kira faktor kekerapan daerah Johor Bahru dan Kulai dikategorikan sebagai zon merah.

“Bagi lapan daerah lain iaitu Muar, Batu Pahat, Segamat, Kluang, Pontian, Kota Tinggi, Mersing dan Tangkak, perubahan adalah kepada satu pertiga kapasiti masjid atau surau untuk solat fardu dan solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada 8 Februari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi mengumumkan keputusan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu tetapi dihadkan kepada 40 jemaah sahaja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yahya turut memberitahu, kuliah agama di masjid dan surau juga dibenarkan serta perlu dilaksanakan oleh penceramah dan guru takmir dalam daerah sahaja.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI