KUALA LUMPUR – Penganjuran Liga Hoki Dalam Dewan Kebangsaan 2020 mampu membantu usaha Malaysia melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan buat kali pertama sejak ia mula dipertandingkan di Leipzig, Jerman pada 2003.
Inisiatif Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) buat julung kalinya memperkenalkan liga itu dilihat mampu mencungkil lebih ramai bakat baharu dan pada masa sama dapat memastikan teknik serta kemahiran pemain-pemain negara tidak berkarat.
Tonggak pertahanan skuad hoki senior negara, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, 25, turut memuji langkah MHC itu yang akan menganjurkan liga tersebut di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak dari 17 Oktober hingga 20 Disember depan.
“Satu kejohanan yang bagus sekali dalam Malaysia kerana saya percaya semua orang (pemain-pemain hoki) menanti-nantikan pertandingan seperti ini. Saya harap ia akan berjalan lancar nanti,” katanya.
Malaysia tidak akan beraksi pada Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2021 di Liege, Belgium dari 3 hingga 7 Februari kerana gagal meraih slot automatik selepas meraih tempat ketiga Piala Hoki Dalam Dewan Asia 2019.
Bagaimanapun, Malaysia berpeluang membuat penampilan pada edisi seterusnya empat tahun lagi jika penganjuran Liga Hoki Dalam Dewan Kebangsaan berjaya mencapai matlamatnya.
Sementara itu, Najmi meluahkan keyakinan tuan rumah Sukan SEA 2021 iaitu Vietnam akan menerima rayuan MHC dengan menganjurkan acara hoki dalam dewan pada temasya dwitahunan yang akan berlangsung pada November tahun depan.
“Hoki dalam dewan sudah menjadi sukan utama di Malaysia, jadi tak salah kalau pemain-pemain kita dapat peluang bermain kejohanan seterusnya di Vietnam.
“Saya ada dengar Thailand dan Singapura pun membuat rayuan untuk hoki dalam dewan. Saya harap peluang cerah untuk kita bermain di Vietnam nanti,” jelasnya.
Walaupun bermain hoki padang tetapi Najmi adalah sebahagian daripada pemain skuad hoki dalam dewan yang berjaya menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan SEA Manila 2019. – K! ONLINE