fbpx

Pemandu treler rempuh jejambat positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua maut manakala tiga lagi pekerja kilang terselamat dalam kejadian runtuhan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

PETALING JAYA – Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas pemandu treler yang melanggar jejambat dalam pembinaan Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di ibu negara semalam mendapati lelaki berkenaan berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek tidak mengalami sebarang kecederaan namun hasil saringan awal urin yang dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Dang Wangi mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

“Lelaki tersebut kini berada di dalam tahanan dan akan direman di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kejadian kira-kira pukul enam petang itu telah mengakibatkan tiga individu mengalami kecederaan manakala dua lagi maut selepas dihempap runtuhan jejambat yang sedang dalam pembinaan itu.

“Kejadian mengakibatkan seorang pemandu van kilang, Muhd. Fairus Mohd. Yusof, 47, mengalami patah tulang bahu sebelah kiri, bengkak pada paru-paru dan pendarahan dalaman.

“Dua penumpang van iaitu Zaitun Zainal, 54, cedera pada kaki kiri manakala Zakiyyah Yakop, 51, pula cedera pada betis kiri dan mangsa yang meninggal dunia adalah Nurina Edwin Abdullah,47, dan Norhayati Abdullah, 42,” katanya

Jelas Zulkefly, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila treler yang dipandu suspek telah berlanggar dengan kerangka besi pembinaan di jejantas pejalan kaki dan menyebabkan rusuk keluli dan perancah besi terjatuh di kedua-dua laluan.

“Kerangka besi pembinaan yang jatuh itu telah menghempap sebuah van kilang yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS) yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang Sensata Technologies, USJ 1,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan dua individu maut manakala tiga lagi pekerja sebuah kilang terselamat selepas van pekerja yang dinaiki mereka ditimpa runtuhan pembinaan jejambat di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI