MANCHESTER – Manchester City mengukuhkan cengkaman sebagai peneraju Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers 4-1 di Stadium Etihad awal pagi semalam.
Lebih manis, kemenangan itu menyaksikan City menyamai rekod tanpa kalah kelab tersebut dalam 28 perlawanan selain terus menjarakkan diri dengan pencabar terdekat, Manchester United.
Walaupun gembira dengan kemenangan itu, namun pengurus City, Pep Guardiola mengakui agak kecewa apabila pasukan membenarkan lawan menjaringkan gol.
“Perlawanan ini sangat sesuai dijadikan sebagai pengajaran untuk kami beraksi pada saingan kalah mati Liga Juara-Juara nanti. Kami tidak boleh benarkan penyerang lawan bergerak bebas.
“Kami perlu pastikan gawang tidak dibolosi dalam aksi kalah mati kerana ia mampu menggugat peluang pasukan untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya,” kata Guardiola.
Secara keseluruhan, bekas jurulatih Barcelona itu memuji aksi yang ditampilkan pemain-pemainnya selain percaya City sudah menemui rentak sebenar.
“Kami bermain sangat baik hari ini (semalam). Pemain-pemain juga memberikan segala-galanya sepanjang perlawanan. Mereka menampilkan aksi cukup berbeza jika dibandingkan dengan awal musim,” ujarnya. – AGENSI