fbpx

MTC tawar siswazah bina kerjaya dalam industri perkayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) telah menyusun semula dan merangka pelan strategik untuk membangunkan industri perkayuan sejajar dengan keperluan industri.

Pengerusinya, Mazli Zakuan Mohd. Nor berkata, antara ini­siatif badan tersebut adalah memperhebatkan usaha ke arah mengguna pakai pendigitalan dan automasi sebagai permulaan kepada Revolusi Industri 4.0 dan meningkatkan bilangan pekerja berpengetahuan terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan reka bentuk produk kayu serta perabot.

Menurut beliau, bagi mencapai misi tersebut, Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah (EPIP) Dalam Industri Kayu-Kayan 2021 telah diba­ngunkan.

Ia adalah program pertama yang diperkenalkan MTC yang bakal menyaksikan jurutera, graduan teknologi perkayuan serta mahasiswa diserap ke syarikat berasaskan kayu bagi tujuan penempatan dan latihan pra siswazah.

Latihan yang disediakan bakal mengikut keperluan dan kesesuaian industri kayu-kayan yang dirangka bersama UPM Holdings dan Selangor Human Resource Development Centre.

“Ini adalah usaha MTC untuk menggalakkan mereka membina kerjaya di dalam industri per­kayuan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran program baharu tersebut dan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara MTC dengan institusi pengajian tinggi serta politeknik di Putrajaya baru-baru ini.

MoU tersebut melibatkan pembabitan Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Kuala Lumpur 2, Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Turut hadir pada majlis ber­kenaan ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Selain itu, Mazli menjelaskan, program tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu Penempatan Jurutera dan Penempatan Pra Siswazah.

Program Penempatan Jurutera merupakan program yang ditawarkan kepada jurutera untuk menjalani latihan di tempat kerja di bawah bimbingan profesional selama setahun manakala Program Latihan Pra siswazah terbuka kepada mahasiswa yang sedang melakukan latihan industri.

Industri perkayuan adalah sub sektor komoditi ketiga terbesar di Malaysia selepas sawit dan getah dengan prestasi eksport pada tahun 2020 adalah seba­nyak RM22.1 bilion.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI