SEIRING dengan peredaran zaman, seni bina rumah-rumah di negara ini turut berubah menjadi lebih moden.
Malah, bahan binaan yang digunakan untuk membuat rumah turut berubah daripada penggunaan kayu kepada batu-bata yang lebih kukuh dan tahan lama.
Disebabkan itu, seorang guru silat, Dil Akbar Jaafar di Kampung Bendang Bukit, Pendang, Kedah terpanggil untuk kembali mempopularkan rumah tradisional Melayu Nusantara yang kian pupus.
Lelaki berusia 41 tahun itu telah membangunkan beberapa buah rumah Melayu tradisional di kawasan dikenali sebagai Perkampungan Adat Melayu Seri Banian.
Menurut Dil Akbar, idea membuka perkampungan tersebut tercetus sejak lima tahun lalu selepas terlibat dalam program dan acara persilatan di sekitar Indonesia, Singapura dan Filipina.
“Sebelum ini, saya sering merantau dan melihat rumah kampung di sekitar Nusantara. Daripada situ, timbul ilham untuk membuka perkampungan ini yang dilengkapi dengan rumah Melayu lama.
“Tujuan perkampungan ini dibina adalah untuk memperkenalkan budaya masyarakat Melayu Nusantara pada zaman silam kepada generasi muda masa kini,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Menurutnya, kawasan perkampungan seluas 2.8 hektar itu menelan kos pembinaan sebanyak RM200,000.
Katanya, meskipun perkampungan berkenaan baru 20 peratus siap, namun selepas tular dalam media sosial pihaknya terpaksa membuka pintu untuk kedatangan pelawat sejak dua tahun lalu.
“Tarikan utama di sini sudah tentu konsep dan suasana yang tidak ubah seperti kampung Melayu lama.
“Apabila siap kelak, tempat ini bakal dilengkapi rumah adat Melayu Nusantara seperti Perak, Kedah, Sunda, Aceh, Banjar, Bugis, Jawa dan Minangkabau.
Ketika ini, perkampungan tersebut hanya memiliki empat rumah yang boleh dihuni pengunjung iaitu dua rumah Kedah dan masing-masing satu rumah Perak dan Sunda.
Menariknya, rumah-rumah itu dibina menggunakan kayu hutan sebagai rangka, buluh dijadikan dinding, manakala bumbung daripada daun rumbia.
“Rumah ini dibina sendiri oleh saya dengan bantuan beberapa rakan dan pekerja.
Disebabkan dinding rumah diperbuat daripada buluh, menjadikan pengudaraannya sangat baik dan pengunjung tidak berasa panas.
“Setiap rumah boleh memuatkan seramai 6 orang dan dilengkapi dengan kemudahan seperti tilam, bantal, selimut dan tikar mengkuang. Rumah ini juga mempunyai anjung di bahagian depan untuk beristirahat.
“Kami sengaja tidak meletakkan kemudahan moden kecuali soket elektrik bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai suasana kehidupan zaman silam yang serba kekurangan,” ujarnya.
Tiada harga ditetapkan untuk pakej menginap di rumah itu, sebaliknya bayaran diberikan mengikut jumlah yang ingin diberikan pengunjung.’
Untuk makluman, nama Seri Banian merujuk kepada kampung berseri iaitu Ban bererti kampung dalam bahasa Thai, manakala Nian membawa maksud sunyi dan dingin. Seri Banian juga merupakan salah satu persembahan dalam seni persilatan Melayu.
Jelas Dil Akbar, Perkampungan Adat Seri Banian dilengkapi dengan dua kolam yang membolehkan pengunjung memancing pelbagai spesies ikan air tawar.
Ujarnya, pengunjung juga disajikan dengan pelbagai persembahan yang pernah menjadi kemasyhuran orang Melayu.
“Di sini, para pengunjung boleh melihat sendiri persembahan tradisional yang semakin pupus dan dilupakan seperti memanah, berkuda, tarian, muzik serta perarakan tandu.
“Semua yang terlibat dalam persembahan mengenakan busana pernah dipakai masyarakat Melayu dahulu,” ujarnya.
Kawasan itu boleh memuatkan seramai 400 orang pada satu-satu masa. Pengunjung disara membuat tempahan awal bagi mengelak kesesakan.
Pada masa ini, kampung itu dibuka setiap hari kepada pengunjung seawal pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan dewasa dikenakan bayaran RM3, manakala RM1 bagi kanak-kanak.
Sekiranya ingin menunggang kuda atau pun bergambar bersama haiwan berkenaan pengunjung dikenakan caj RM5.