PASUKAN Hoki Terengganu (THT) boleh menarik nafas lega selepas tiga pemain utama pasukan tersebut yang dijangkiti wabak Covid-19 bulan lalu boleh menyertai Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 pada 11 Mac ini sekiranya bebas dari wabak tersebut.
Penyerang sensasinya, Faizal Saari, Abdul Khalid Hamirin dan pemain tengah, Shello Silverius dikejutkan apabila disahkan positif wabak tersebut pada 23 Februari lalu dan sedang menjalani ujian kuarantin.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, tiga pemain THT tersebut hanya perlu mengemukakan surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kebenaran tersebut turut melibatkan kesemua peserta, termasuk pegawai yang akan menyertai kejohanan itu di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil.
“Pemain yang dijangkiti wabak tersebut hanya perlu membawa surat dari KKM yang mengesahkan mereka bebas dari jangkitan wabak Covid-19.
“Tidak kiralah siapa mereka dan MHC hanya menerima surat ujian rasmi dari KKM untuk membenarkan mereka beraksi. Jika tiga pemain tersebut gagal menunjukkan surat mereka tidak dibenarkan bermain.
“Jika pemain yang dijangkiti wabak tersebut terlepas beraksi pada perlawanan pembukaan mereka juga boleh beraksi di pentas separuh akhir namun mereka hanya perlu pamerkan surat dari KKM,” katanya dalam sidang akhbar menjelang penganjuran MHL 2021.
Dalam pada itu, Subahan turut memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk ‘menedang’ keluar mana-mana pemain mahupun pasukan yang ‘kantoi’ menyelinap keluar dari lokasi gelembung sukan.
“Sebenarnya memang kita bersedia dan kita ada pegawai teknikal terbaik malah mereka bekerja keras dalam memastikan setiap peraturan disarankan oleh pihak kerajaan akan dipatuhi.
“Kita mahu beritahu kepada pasukan iaitu tiada kelonggaran dilakukan. Kita memandang perkara ini cukup serius dan jika kita mengesan mana-mana individu yang melanggar peraturan sudah pasti ia akan mengganggu perjalanan liga malah menyebabkan saingan liga ini boleh dibatalkan.
“Sebab itu kita tidak akan bertolaransi mana-mana pemain mahupun pasukan mengambil sambil lewa perkara ini. Mungkin kita akan singkirkan pasukan dan pemain tetapi ia masih terlalu awal untuk di perkatakan.
“Biarlah komuniti teknikal sukan yang putuskan dan kita tidak akan bertolenrasi dengan perkara. Semua orang perlu ikut peraturan yang kita tetapkan,” jelasnya.