IPOH – Majlis akad nikah di Perak kini boleh dijalankan di premis yang disewa seperti hotel dan dewan komuniti selain masjid dan surau, berkuat kuasa Jumaat ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, penganjuran majlis di masjid dan surau itu bagaimanapun perlu mendapatkan kebenaran daripada pengerusi di kedua-dua premis tersebut.
“Berkuatkuasa Jumaat ini, majlis akad nikah diberi pilihan keutamaan untuk dilaksanakan di premis-premis tersebut termasuk di Pejabat Agama Islam Daerah.
“Penganjuran di lokasi tersebut perlu mematuhi jumlah kehadiran iaitu 50 peratus daripada kapasiti premis atau tidak melebihi jumlah maksimum 250 orang.
“Selain itu, amalan norma baharu juga perlu terus dipraktikkan seperti kerap membasuh tangan, penjarakan sosial dan memakai pelitup muka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusop, ketetapan baharu itu dibuat selaras dengan pengumuman kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 24 Februari lalu.
Katanya, ketetapan yang bermula 5 Mac ini diguna pakai sehingga satu arahan baharu diberitahu kelak.-K! ONLINE