fbpx

Hasut tolak vaksin adalah satu kesalahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING JAYA – Perbuatan menghasut orang ramai supaya menolak pengambilan vaksin Covid-19 adalah salah satu kesalahan berdasarkan Ordinan Darurat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, tindakan itu boleh dianggap sebagai mendatangkan khianat awam dengan niat menakutkan orang ramai.

“Semalam, saya difahamkan polis sudah membuat kenyataan. Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara sudah membuat kenyataan bahawa ia satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.

“Melalui Ordinan Darurat yang dipinda, tindakan segera boleh diambil terhadap mereka,” katanya dalam sidang khas hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) bermula 11 Mac nanti, Ismail Sabri berkata, had maksima itu dinaikkan untuk individu atau pihak yang melakukan kesalahan serius.

“Sebelum ini kita mendengar ramai tidak berpuas hati apabila sebuah kilang yang menyebabkan penularan Covid-19 sehingga lebih 4,000 pekerja mereka positif, didenda RM1,000 kerana Akta 432 menghadkan kompaun RM1,000 sahaja.

“Jadi, oleh kerana darurat diproklamasikan maka kerajaan telah meminda hukuman dan menaikkan had maksima tersebut untuk pihak-pihak yang berdegil tidak mematuhi SOP.

“Ketua Polis Negara sendiri telah memberikan penjelasan bahawa mereka yang dikenakan kompaun lebih daripada RM1,000 atau RM10,000 adalah pihak yang telah berulang-ulang kali melakukan kesalahan,” jelasnya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, beliau turut berharap agar rakyat beri keyakinan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam menjaga keselamatan rakyat.

“Mereka tahu menggunakan kuasa yang ada pada mereka dan menggunakan budi bicara untuk menjaga keselamatan kita.

“Jangan rasa ragu dan sangsi kepada polis dan mula menganggap mereka akan berlaku kejam kepada rakyat. Saya percaya, tidak akan ada penganiayaan kepada rakyat,” tegasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI