KUALA KANGSAR – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, Muhammad Haikal Iskandar yang kematian bapa ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mahu terus bekerja bagi menyara keluarga selepas tamat peperiksaannya.
Ibunya, Siti Rahayu Norji, 36, berkata, anaknya yang mesra dengan panggilan Haikal, 18, menyatakan hasratnya untuk bekerja memandangkan dia merupakan anak tunggal lelaki dalam keluarga.
“Haikal sangat sedih dengan pemergian bapanya dan dia banyak termenung. Mujur kawan-kawannya sering bersama dengannya untuk menghilangkan rasa sedih itu.
“Dia ada menyatakan hasratnya untuk bekerja selepas SPM bagi menyara keluarga kerana saya tidak boleh melakukan kerja-kerja berat kerana lemah di bahagian kedua-dua tangan selepas terlibat kemalangan dua tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kuala Kangsar di rumahnya di Kampung Tahan di sini hari ini.
Kosmo! Online pada 24 Februari lalu melaporkan, rakaman video seorang calon SPM yang menatap wajah arwah ayahnya buat kali terakhir sebelum menduduki peperiksaan Sejarah kertas dua yang tular mengundang sebak dan meruntun hati netizen.
Jenazah bapanya dibawa ‘singgah’ ke sekolah terlebih dahulu untuk memberi peluang kepadanya menatap wajah bapanya sebelum urusan pengebumian dijalankan.-K! ONLINE