KULAI – Seorang remaja lelaki ditahan manakala seorang lagi suspek yang dikenali sebagai ‘Satish’ diburu polis kerana disyaki terlibat dalam satu kejadian samun membabitkan sebuah premis perniagaan di Taman Kulai Permai, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, remaja lelaki berusia 16 tahun itu ditahan selepas polis menjalankan serbuan di Flat Temenggong, Indahpura, di sini.
Katanya, suspek berkenaan ditahan antara pukul 5 hingga 7 petang.
“Siasatan berhubung kejadian itu dibuat selepas polis menerima aduan seorang lelaki bahawa premis perniagaan miliknya dipecah masuk.
“Kerugian yang dialami melibatkan wang tunai dan beberapa barangan berharga yang dianggarkan bernilai RM7,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beng Yeow turut memberitahu, hasil siasatan dibuat, suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun berkenaan bersama seorang lagi individu yang masih bebas, dikenali dengan nama ‘Satish’.
“Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah manakala selain mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
“Suspek kini dikenakan reman selama tujuh hari sehingga 7 Mac bagi membantu siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya.-K! ONLINE.