fbpx

K2

ARM yakin Klopp mampu julang Liverpool

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUZILI (kiri) sempat beramah mesra dengan pemilik Liverpool, John W. Henry sebelum perlawanan di Anfield.

SEAWAL pukul 5 pagi pada 26 Jun lalu, telefon bimbit Muzili Aznor Musa tidak henti-henti dibanjiri dengan notifikasi daripada aplikasi Whatsapp dan media sosial.

Apabila dibelek, ternyata notifikasi yang diterima itu merupakan mesej dan teks ucapan tahniah dalam kalangan ahli All Red Malaysia (ARM) susulan kejayaan Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris pada pagi tersebut.

Muzili yang juga Presiden ARM memberitahu, tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaannya ketika mengetahui Liverpool akhirnya muncul juara Liga Perdana Inggeris.

“Inilah satu-satunya piala penting yang masih belum didakap oleh pasukan ini sejak saya menjadi penyokong The Reds pada tahun 1995.

“Kami di ARM tidak mengadakan apa-apa aktiviti bagi meraikan kejayaan itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, namun ahli-ahli menyaksikan perlawanan penentu kejuaraan Liverpool (Chelsea vs Manchester City) di kediaman masing-masing,” kata Muzili.

Muzili berkata, kejayaan Liverpool pada musim ini disebabkan barisan pemain berjaya menggalas tugas di setiap posisi, berbanding dua musim sebelum itu yang garang ketika menyerang, namun agak rapuh apabila bertahan.

 

PARA penyokong Liverpool di Malaysia turut tidak ketinggalan meraikan kejayaan skuad The Reds menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris di Kelana Jaya baru-baru ini. – Foto Facebook ALL Reds Malaysia .

 

Pun begitu katanya, kemasukan penjaga gol, Alisson Becker dan pemain pertahanan, Virgil Van Dijk menyaksikan pasukan Liverpool lebih lengkap.

“Satu lagi faktor penting adalah peranan pengurus, Jurgen Klopp yang berjaya menjadikan setiap pemain percaya bahawa mereka mampu menewaskan mana-mana pasukan dalam apa jua kejohanan dan sudah terbukti apabila Liverpool menewaskan Barcelona di pentas Eropah.

“Kami melihat satu peningkatan yang sangat positif dalam pasukan sejak Klopp mengambil alih pengurusan.

Malah, kejayaan merangkul kejuaraan Eropah pada musim lalu menyebabkan kami bertambah yakin pasukan Liverpool mampu untuk menyaingi Manchester City bagi merebut kejuaraan liga pada musim ini,” ujarnya.

Mengenai ARM pula, Muzili memberitahu, organisasi itu adalah kelab penyokong The Reds yang rasmi di Malaysia dan diiktiraf oleh Liverpool dengan ahli berdaftar hampir 1,000 orang.

Katanya, ARM mempunyai empat wilayah iaitu tengah, selatan, utara dan pantai timur selain bercadang membuka wilayah baharu di Sarawak pada sedikit masa lagi.

“Kami sering mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang musim seperti perjumpaan ahli, kejohanan bola sepak, trip ke Anfield dan aktiviti sukan lain. Kami boleh diikuti di laman https://www.facebook.com/allredsmalaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI