PELUMBA berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom mengakui fokus dirinya ketika ini adalah memburu kilauan pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo dan tiada istilah mahu menumbangkan Azizulhasni Awang di Australia.
Kelmarin, Shah Firdaus membuktikan dia juga mempunyai potensi besar pada Olimpik di Tokyo, Jepun nanti apabila meraih pingat emas dalam acara keirin pada Kejuaraan Victoria, Melbourne sekali gus mengatasi seniornya, Azizulhasni yang meraih pingat perak.
Bagaimanapun, bintang dalam pembikinan itu berkata, segala kejohanan di Australia adalah sebagai medan latihan dan misi utama mereka adalah pada Sukan Olimpik Tokyo, Jepun pada Julai nanti.
“Saya dengan Azizul memang sudah rancang kerana kami tidak kisah siapa antara kami menjuarai perlumbaan ini. Sebab itu memang kebiasaannya jika kami berdua berada di pentas final keirin.
“Perkara paling utama dan penting sekali adalah meraih gelaran itu. Sebab kebiasaannya kalau kami berlumba di Australia, pelumba mereka akan cuba menghalang segala pergerakan kami berdua.
“Alhamdulilah, segalanya perancangan berjalan dengan lancar dan kami berdua berjaya tamatkan saingan dengan keputusan 1-2. Buat masa ini tiada sasaran kerana misi utama kami adalah di pentas Olimpik.
“Segala perlumbaan yang kami sertai di Australia ini adalah sebagai medium latihan untuk kami. Menang atau kalah bukan sesuatu yang penting bagi baki perlumbaan di sini.
“Saya dan Azizul dalam fasa latihan yang agak berat. Jadi setiap kali berlumba kami bukan dalam keadaan terbaik kerana badan dan otot masih dalam keadaan penat disebabkan latihan yang banyak,” katanya semalam.
Pada 21 Februari lalu, kedua-dua pelumba negara turut cemerlang apabila meraih penamat 1-2 dalam acara pecut di Kejohanan Trek Elit Victoria yang berlangsung di venue sama.