fbpx

Espargaro sukar tanpa Marquez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ESPARGARO mengakui dia berdepan tekanan untuk mencari pelarasan terbaik bersama Honda terutama ketika ketiadaan Marquez. – AFP

LONDON – Pelumba baharu Repsol Honda, Pol Espargaro mengakui dia tertekan untuk mendapatkan tunggangan dan pelarasan terbaik bersama jentera Honda ekoran ketiadaan Marc Marquez menjelang sesi ujian rasmi bersama pasukan tersebut di Qatar pada hujung minggu ini.

Espargaro yang cemerlang menaiki podium sebanyak enam kali musim lalu bersama KTM me­nyertai Honda musim ini.

Namun, pelumba yang ter­kenal dengan julukan Polyccio itu dijangka berdepan kesukaran untuk mendapatkan rentak terbaik bersama Honda apabila hanya mempunyai tempoh lima hari untuk mempelajari jentera RC213V sebelum saingan MotoGP bermula.

Espargaro sepatutnya diberi peluang untuk menguji jentera tersebut pada November tahun lalu, namun ujian tersebut dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

Akibat pandemik Covid-19, Espargaro juga terus kempunan untuk menjalani ujian di Sepang selepas Malaysia mengumumkan tidak membenarkan sesi ujian tersebut dilakukan.

“Saya akan berada di Qatar tiga hari lebih awal untuk menjalani ujian tersebut. Saya akan bersama pasukan termasuk jurutera untuk menyiapkan jentera. Saya cuba untuk menganalisis dan memahami setiap sudut litar di Qatar nanti.

“Saya akui banyak perkara perlu belajar kerana Honda dibangunkan mengikut DNA Marquez. Jadi, saya perlu faham dari pelbagai sudut untuk mendapatkan pelarasan yang hampir sempurna.

“Saya akui tekanan pasti tinggi tanpa Marquez. Sudah pasti kami ada pelumba satelit dan juga pelumba uji. Jadi, saya akan pelajari daripada mereka untuk cepat membiasakan dengan jentera,” katanya.

Honda bakal menurunkan pelumba uji iaitu Stefan Bradl. Selain itu, Espargaro turut ditemani dua pelumba LCR, Takaaki Nakagami dan Alex Marquez pada sesi ujian di Qatar nanti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI