BARANGKALI kedengaran klise, namun benarlah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu! Peribahasa tersebut sesuai untuk menggambarkan jalan baharu yang sedang diterokai penyanyi Mark Adam. Dia kini bergelar penyampai Hot FM untuk segmen Geng Pagi Hot (GPH).
Mark atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam Abdullah ketika dihubungi baru-baru ini memaklumkan, kerjaya sebagai penyampai radio perlahan-lahan merubah gaya hidupnya.
Kalau sebelum ini, dia tidak biasa dengan rutin bangun awal pagi, namun disebabkan tuntutan kerjaya sekarang, Mark perlu bangun tidur seawal pukul 3.30 pagi sebelum mengendalikan program berkenaan dengan dua rakan sekerjanya, Fizie dan seorang lagi penyampai baharu, pelakon Riena Diana.
Mengakui masih belum fasih bertutur dalam bahasa Melayu, Mark mendedahkan, penguasaan bahasanya bagaimanapun semakin menampakkan peningkatan disebabkan kerjaya di konti.
HIBGLAM: Apa khabar Mark? Bagaimana dengan kehidupan sekarang sejak bergelar penyampai radio?
MARK ADAM: Alhamdulillah, saya sihat. Saya masih lagi dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan skop kerja sebagai penyampai radio. Sudah dua minggu bersiaran dengan GPH, saya sangat seronok dengan kerjaya baharu. Setiap hari, semakin banyak benda yang saya belajar terutama betapa pentingnya penguasaan bahasa Melayu. Saya ada benda nak cakap, bahasa Melayu saya sekarang semakin baik!
Sekarang sudah biasa bangun awal pagi, bagaimana anda membiasakan diri dengan rutin baharu ini?
Saya perlu bangun seawal pukul 3.30 pagi dan keluar rumah satu jam kemudian. Senang cerita, saya sudah jadi ‘morning person’ sekarang. Saya percaya, kalau kita bangun awal pagi, rezeki akan senang masuk. Dulu kerja menyanyi, balik lewat sampai pukul 3 pagi. Sekarang kena elakkan agar peranan dan tugas di radio tidak terganggu.
Dari skala 1 hingga 10, bagaimana anda menyifatkan peningkatan penguasaan bahasa Melayu selepas bergelar penyampai radio?
Sebelum ini, saya boleh bagi rating empat untuk bahasa Melayu. Sekarang sudah lebih dua minggu, naik dua markah ke tangga enam dan lama-lama akan jadi 10 (ketawa). Saya rasa bermotivasi untuk terus memperbaiki penguasaan bahasa Melayu dengan membaca banyak berita dalam surat khabar, media sosial dan buku.
Bagaimana pula dengan keserasian antara anda, Riena dan Fizie di konti?
Saya selesa bekerja dengan mereka. Riena seorang yang sangat mudah didekati, sempoi dan ‘ting tong’ dia pun boleh tahan juga. Semua orang tahu karakternya menerusi watak Lailer dalam Kampung People. Dalam radio, dia sama macam Lailer tetapi kena jaga perangai sikit. Fizie pula seorang yang berpengalaman dan banyak memberi tunjuk ajar. Kalau kami macam ‘bimbo’ sedikit, Fizie akan tunjukkan jalan betul agar tidak lari daripada skop kerja sebenar penyampai radio.
Belum cuba, belum tahu. Mungkin itu pegangan anda sebelum bersetuju untuk menggalas tugas baharu. Adakah anda pernah terfikir untuk bergelar seorang penyampai radio?
Tak pernah terfikir atau terlintas langsung dalam fikiran. Apabila ditawarkan kerja ini, rasa macam mimpi. Tetapi saya percaya ini rezeki dan sangat bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan. Tetapi bagi saya, kerja ini bukan kerjaya biasa. Kami mempunyai tanggungjawab besar untuk menyampaikan informasi bermanfaat kepada pendengar. Dalam pada ada penyampai yang ‘hanyut’ berlawak di konti, jangan lupa tugas utama iaitu menyampaikan informasi.
Baiklah, bagaimana kerjaya sebagai seorang penyanyi dan pelakon selepas ini?
Masih berjalan seperti biasa, cuma perlu perlahankan sedikit demi komitmen penuh terhadap kerjaya di konti. Lagu terbaharu berjudul Yatim yang dijadikan runut (OST) filem Daddyku Gangster akan dilancarkan. Cuma tidak pasti bila filem tersebut akan ditayangkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa. Saya juga terlibat dengan program Famili Duo yang bersiaran di TV3 setiap Ahad, 9 malam. Selain itu, saya akan keluarkan lagu duet bersama penyanyi bernama Angel. Nanti saya akan kongsikan maklumat lanjut.