fbpx

Dua lelaki cuba nasib beli nombor ekor dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang lelaki beragama Islam yang ditahan ketika sedang membeli nombor ekor di premis judi sekitar daerah Manjung semalam.

LUMUT – Dua lelaki beragama Islam ditahan kerana membeli nombor ekor di dua premis judi sekitar daerah Manjung dalam satu operasi oleh Pejabat Agama Islam Daerah Manjung, semalam.

Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Manjung, Khairul Nizam Mat Nor berkata, kedua-dua lelaki berusia 30-an dan 40-an itu ditahan dalam serbuan di premis judi di Sitiawan dan Seri Manjung bermula pukul 4 petang hingga 7 malam.

“Kedua-dua premis itu sering menjadi tumpuan ‘kaki nombor ekor’ beragama Islam, justeru operasi dilakukan untuk menbanteras kegiatan perjudian dalam kalangan orang Islam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Khairul Nizam, ketika pihaknya menahan dua lelaki tersebut, terdapat beberapa individu beragama Islam berada di luar premis berkaitan dipercayai mahu membeli nombor ekor.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak boleh menahan semua individu tersebut kerana tidak berada dalam premis judi serta tidak membeli nombor ekor tetapi mereka dinasihati agar tidak melakukan perkara yang jelas diharamkan dalam Islam.

Ujarnya, dua lelaki itu dibawa ke Pejabat Agama Daerah Manjung di Seri Manjung untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Tegasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 26 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak yang boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI