BUENOS AIRES – Dinosaur gergasi yang digali di Argentina dipercayai spesies titanosaur tertua pernah ditemui dan hidup di kawasan kini Patagonia, sekitar 140 juta tahun lalu pada permulaan zaman Cretaceous, kata beberapa saintis kelmarin.
Biawak berukuran 20 meter itu, Ninjatitan Zapatai, ditemui dalam tahun 2014 di wilayah Neuquen, barat daya Argentina, lapor Universiti La Matanza dalam analisisnya.
“Kepentingan utama fosil ini (Ninjatitan Zapatai) selain menjadi spesies baharu titanosaur, adalah fosil tertua direkodkan bagi haiwan ini di seluruh dunia,” saintis Majlis Saintifik Conicet, Pablo Gallina dipetik sebagai berkata.
Titanosaur adalah keluarga sauropod iaitu dinosaur pemakan tumbuhan. Biawak prasejarah memiliki leher dan ekor panjang itu mungkin juga haiwan terbesar pernah hidup di Bumi.
Penemuan baharu itu, kata kenyataan sama, bermaksud titanosaur hidup lebih lama daripada yang dipercayai saintis sebelum ini iaitu pada permulaan zaman Cretaceous yang berakhir dengan kepupusan dinosaur sekitar 66 juta tahun lalu.
Fosil berusia 140 juta tahun ‘sangat jarang” ditemui, kata Gallina selaku penulis utama kajian itu yang disiarkan dalam jurnal saintifik, Ameghiniana.
Haiwan itu dinamakan sempena ahli paleontologi Argenina, Sebastian Apesteguia yang diberikan gelaran El Ninja dan juruteknik, Rogelio Zapata. – AFP