BACHOK – Pasangan kekasih merupakan antara 11 orang penagih dadah yang ditahan dalam Ops Cegah yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bachok di sekitar daerah ini sepanjang minggu lalu.
Ketua Pegawai AADK Bachok, Zulkapli @ Zulkifli Muhammad berkata, pasangan kekasih yang berusia 35 dan 36 tahun itu dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gunung di sini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati pasangan itu mengaku bahawa hubungan cinta mereka semakin erat disebabkan oleh penangan pil kuda.
“Pengambilan pil kuda menyebabkan mereka berdua terjerat di dalam percintaan antara satu sama lain.
“Wanita itu telah diperintahkan menjalani rawatan dan pemulihan dadah di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Penagih Dadah 1983 di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di sini manakala pasangannya di Puspen Besut selama dua tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Zulkifli, dalam operasi itu, pihaknya menjalankan operasi untuk menjejak penagih dadah di kawasan berisiko tinggi (KBT) iaitu di sekitar Kampung Perupok, Kampung Tawang, Kampung Telong dan Kampung Gunung di sini.
Jelasnya, 11 individu termasuk seorang wanita yang disyaki penagih dadah telah ditahan dan lapan daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.
“Berdasarkan siasatan, suspek yang ditahan berusia antara 23 tahun hingga 53 tahun. Siasatan mendapati, mereka hanya duduk di rumah untuk menagih dadah dan hanya keluar untuk membeli bekalan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“semua suspek kecuali pasangan kekasih itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(a), 6(1)(b) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya. – K! ONLINE