KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal dalam permohonan mereka untuk melucut hak wang berjumlah RM2,738,525 yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, yang didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu hari ini selepas menolak permohonan pendakwa raya selaku pemohon.
Dalam penghakiman, Muhammad Jamil berkata mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram selain wang yang dikatakan diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah lama habis digunakan.
“Selain itu pihak pemohon juga tidak mencabar akaun-akaun dan penyataan yang dikemukakan dalam afidavit responden (UMNO Selangor) dan mahkamah dapati pemohon gagal membuktikan wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu permohonan pemohon ditolak,” kata Muhammad Jamil.
Terdahulu semasa prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim manakala peguam Datuk Hasnal Rezua Merican dan Muzzammil Merican mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor.
Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwa raya terhadap UMNO Negeri Selangor mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.-K!ONLINE