PETALING JAYA – Baru sahaja menimang cahaya mata kedua lapan bulan lalu, pelakon Sari Yanti mengesahkan dirinya kini hamil anak ketiga.
Perkongsian tersebut dikongsi Sari, 37, menerusi InstaStory ketika mengadakan sesi Ask Me Question bersama pengikutnya.
Sari atau nama sebenarnya Sari Yanti Datuk Mohamad Nazari mendedahkan dia berbadan dua selepas ditanya sama ada benar atau tidak khabar angin mengenai dirinya yang kini sedang hamil.
“Betul ke kak Sari mengandung lagi?,” soal salah seorang pengikut kepada pelakon drama Kisah Kaisara itu.
Enggan berselindung, isteri kepada Jep Sepahtu itu berkata dia kerap ditanya peminat berhubung soalan sama sejak akhir-akhir ini.
Pada masa sama, Sari turut mendedahkan kehamilannya kali ini merupakan yang ketujuh baginya. Dia mengakui pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali sebelum ini.
Terdahulu, desas-desus mengenai kehamilannya mula mendapat perhatian netizen apabila fotonya bersama pelakon Scha Alyahya memperlihatkan dirinya seolah-olah sedang berbadan dua.
Untuk rekod, Sari mendirikan rumah tangga bersama Jep pada Februari 2017 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Dariya Inara, 3, dan Muhammad Khidir yang kini berusian lapan bulan.
Hasil perkahwinan terdahulu, Sari turut mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Barr Al Aliy, 11, dan Baasit Al Haq, 10. -K! ONLINE