PUTRAJAYA – Individu yang dikesan cuba ‘potong barisan’ bagi mendapatkan vaksin Covid-19 sudah dikeluarkan daripada senarai penerima vaksin bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Perkara itu disahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini.
Khairy berkata, jumlah mereka yang memotong barisan itu sangat kecil.
“Kami sudah mengenal pasti individu yang tidak layak bagi fasa pertama PICK itu dan ia sudah dikeluarkan daripada senarai,” katanya.
Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) hari ini memutuskan satu garis panduan bagi penetapan petugas barisan hadapan yang layak menerima vaksin bagi fasa pertama PICK.
Khairy berkata, garis panduan itu sudah diluluskan dan ditandatangani antara beliau dan Adham selaku Pengerusi Bersama JKJAV.
Menurutnya, dokumen itu akan dimuat naik di laman web bagi memberi takrifan terperinci mengenai siapa sebenarnya petugas barisan hadapan yang layak menerima vaksin bagi fasa pertama.
“Saya harap soal potong barisan tidak lagi timbul apabila garis panduan ini ditetapkan di peringkat pusat dan negeri.
“Saya mendapat laporan ada pegawai exco negeri turut ada dalam senarai penerima vaksin bagi fasa pertama.
“Saya ingin jelaskan bahawa pegawai menteri besar, pegawai exco, setiausaha politik, ahli keluarga menteri Kabinet atau menteri besar serta isteri ahli Parlimen tidak termasuk dalam fasa pertama PICK,” katanya. -K! ONLINE