PETALING JAYA – Memulakan tanggungjawab sebagai penyampai radio segmen pagi Johara, Sherry Alhadad mengakui gemuruh sehingga terjaga seawal pukul 3 pagi pada hari ini.
Sherry, atau nama lengkapnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 36, berkata, tawaran untuk menghiburkan pendengar di konti diterima sejak awal kemunculan dalam bidang seni namun dia terpaksa menolak bagi memberikan fokus kepada kerjayanya sebagai pelakon.
“Saya memulakan langkah dalam bidang seni agak lambat berbanding orang lain, jadi saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada. Bukan apa, takut tidak dapat memberikan komitmen sebagai penyampai radio yang perlu berada di konti Isnin hingga Jumaat.
“Sejak 2014 lagi saya sudah ditawarkan untuk menjadi penyampai radio, cuma saya mengutamakan bidang lakonan. Akhirnya, saya menerima selepas tujuh tahun kerana merasakan tahun 2021 merupakan masa yang sesuai untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Perlu keluar daripada zon selesa, saya mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang perlu dipelajari dulu. Hari pertama bertugas saya bangun pukul 3 pagi kerana terlalu berdebar menantikan reaksi pendengar,” kata Sherry kepada Kosmo! Online.
Kata Sherry, soal cetusan kimia atau keserasian antara rakan penyampai lain tidak menjadi masalah kerana pernah bekerjasama sebelum ini menerusi program televisyen.
“Johan, Haniff dan Ray mempunyai ‘chemistry’ yang utuh kerana mereka sudah lama bersiaran bersama. Jadi, saya perlu bijak mencari ruang yang mana sebagai wanita untuk ‘masuk’ bersama mereka.
“Mujur juga kerana saya pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini, jadi tidak susah bagi saya. Malah, saya juga sejenis mudah masuk dengan semua orang, yang penting niat untuk belajar benda baru.
“InsyaAllah. Semoga semuanya akan berjalan dengan lancar. Saya sendiri kurang pasti mengenai kontrak dan sebagainya. Yang penting, pendengar terhibur dengan keletah kami,” kata Sherry.
Terdahulu, radio Era mengumumkan kemasukan Sherry Alhadad sebagai gandingan terbaharu segmen Pagi di Era. Gandingan Sherry bersama Johan, Haniff dan Ray dikenali dengan nama JoHaRaRy Pagi Era.
Segmen baharu itu menemui para pendengar Era secara rasminya bermula hari ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi. – K! ONLINE