fbpx

Kapten Amerika, Spiderman sambut murid SK Bukit Rokan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adiwira Kapten Amerika dan Spiderman menyambut kedatangan murid yang memulakan sesi persekolahan era pendemik Covid-19 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rokan, di sini, tadi.

TAMPIN – Kelibat adiwira Kapten Amerika dan Spiderman berjaya menarik perhatian murid yang memulakan sesi persekolahan era pendemik Covid-19 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rokan, di sini, tadi.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Rokan, Nor Azizah Shamsuddin berkata, konsep adiwira berkenaan sudah dua tahun dilaksanakan di sekolah berkenaan bagi menyambut kehadiran murid terutamanya di hari pertama persekolahan.

Menurutnya, pada tahun lalu, kostum angkasawan telah diguna pakai oleh seorang guru bagi menyambut kehadiran murid dari pra sekolah hinggalah ke tahun ini.

“Pagi ini, guru Bahasa Inggeris, Shamil Usrah Zulkipli, menyarung kostum Kapten Amerika dan seorang anak murid, Amar Thaqif Ashrul, tujuh, yang juga anak guru menyarung kostum Spiderman bagi menyambut kehadiran 72 murid dari pra sekolah hinggalah ke tahun tiga.

“Kita harap langkah ini akan dapat menceriakan sesi persekolahan dan murid lebih bersemangat untuk belajar di sekolah,” katanya sempena Program Penyampaian Mask di SK Bukit Rokan, di sini, tadi.

Turut menyambut kehadiran murid, Guru Besar SK Rokan, Asnizam Mohd Nor.

Azizah berkata, tujuan utama sambutan oleh adiwira itu adalah untuk menarik minat murid hadir ke sekolah sepanjang minggu pertama persekolahan

Menurutnya, pihak sekolah juga ingin mewujudkan ikon yang “familiar” iaitu biasa dilihat dan “non-threatening” iaitu tiada ancaman dalam usaha memujuk murid-murid yang mempunyai keengganan berpisah dengan keluarga.

Azizah yang juga Ketua Penerangan Umno Bahagian Tampin berkata, pada pagi itu juga, dia menyampaikan sumbangan berupa pelitup muka dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd Isam Mohd Isa yang turut disampaikan ke seluruh sekolah di Parlimen Tampin.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI