SEREMBAN – Seorang Pengurus Sumber Manusia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu bagi Program Subsidi Upah (PSU) membabitkan jumlah RM6,000 tahun lalu.
Tertuduh, Wong Siow Yen, 39, yang tiba di mahkamah kira-kira pukul 8 pagi bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mengikut pertuduhan, Siow Yen yang bekerja sebagai seorang Pengurus Sumber Manusia didakwa dengan sengaja telah memberikan kepada seorang ejen yang merupakan Ketua Bahagian Insurans Pekerjaan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Putrajaya satu dokumen iaitu borang Program Subsidi Upah (PSU) atas nama syarikat YTG Logistic & Trading Sdn. Bhd.
Tertuduh menyedari prinsipal itu mempunyai kepentingan mengenainya dan mengandungi butir dokumen palsu iaitu lampiran senarai nama pekerja bagi PSU yang mana sebenarnya lampiran tersebut mengandungi lima nama pekerja yang tidak layak menuntut subsidi PSU berjumlah RM6,000.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di YTG Logistic & Trading Sdn. Bhd. beralamat di Lot 869 Batu 1 3/4 Jalan Tampin, Gemas di Negeri Sembilan pada 9 April 2020 yang mana perkara itu dalam pengetahuan tertuduh untuk mengelirukan prisipalnya.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah 24(2) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Nor Syarina Raizan mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan kepada pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Chuah Shyue Chien memohon jaminan yang paling minimum untuk anak guamnya atas alasan tertuduh mempunyai empat orang anak berusia lapan bulan hingga 11 tahun selain sedang menyusu badan bayinya.
Peguam juga memaklumkn pendapatan Siow Yen telah terjejas 70 peratus sejak Covid-19 dan memberitahu anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport sehingga kes selesai.
Kes tersebut disebut semula pada 9 April 2021 untuk serahan dokumen.
Tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut.-K!ONLINE