KUANTAN – Seramai 66,317 murid sekolah rendah dan prasekolah di negeri ini memulakan sesi persekolahan di 542 buah sekolah hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, daripada jumlah itu seramai 25,530 adalah murid tahun 1 dan 24,613 murid tahun dua manakala seramai 16,174 murid pra sekolah.
“Saya bagi pihak Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta kerajaan negeri mengucapkan selamat menduduki meja sekolah kembali.
“Kerajaan negeri mendoakan semoga anak-anak kita dapat belajar dengan sebaiknya disamping dipelihara dari sebarang jangkitan kuman terutama Covid-19,”katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri meminta pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah supaya terus memantau sesi pendaftaran dan pembelajaran agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Katanya, pihak sekolah juga diminta mengambil berat dan sentiasa melaporkan sebarang permasalahan agar dapat diatasi bersama.
“Ibu bapa juga dinasihatkan sentiasa mengambil berat bukan setakat pendidikan dan kehadiran anak-anak tetapi memastikan mengikut SOP ditetapkan,”ujarnya.-K!ONLINE