fbpx

Pengusaha rayu benar rentas negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PANTAI Chenang di Langkawi yang sunyi tanpa pelancong susulan penguatkuasaan larangan rentas daerah dan negeri.

LANGKAWI – Pemain industri pelancongan tempatan merayu kerajaan membenarkan rentas daerah dan negeri bagi menghidupkan semula aktiviti pelancongan di pulau peranginan ini yang kini sunyi tanpa kehadiran pelancong.

Kumpulan itu mendakwa, pendapatan mereka terjejas teruk dengan ada yang terpaksa menutup sementara perniagaan sehingga kerajaan membenarkan kembali aktiviti rentas daerah dan negeri.

Tinjauan Kosmo! di Terminal Feri Penumpang Kuah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini mendapati kebanyakan premis perniagaan di Pantai Chenang dan Kuah ditutup.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Langkawi Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hanya satu trip feri bagi laluan pergi dan balik dari sini ke Kuala Kedah dibuka, manakala feri penumpang ke Kuala Perlis tidak beroperasi kerana larangan tersebut.

Katanya, satu perjalanan bagi laluan Kuala Perlis-Langkawi baru sahaja dibuka bermula kelmarin bagi memenuhi permintaan semasa.

“Sebelum larangan rentas negeri dikuatkuasakan, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan kami untuk keluar dan masuk ke Langkawi boleh mencecah seramai 25,000 orang pada hari cuti dan lebih kurang 12,000 orang pada hari biasa.

“Namun, disebabkan larangan rentas daerah dan negeri, kami hanya menerima kurang daripada 1,000 penumpang dalam sehari,” katanya.

KEADAAN Terminal Feri Penumpang Kuah yang biasanya sibuk dengan pelancong tempatan dan luar negara.

Jelasnya, angka tersebut menunjukkan penyusutan lebih 90 peratus berbanding jumlah penumpang yang menaiki feri sebelum ini.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Kedah/Perlis, Razmi Rahmat berkata, terdapat hotel yang terpaksa ditutup sementara sepanjang penguatkuasaan rentas daerah dan negeri.

“Jika ada hotel yang dibuka sekali pun, jumlah pengunjung yang menginap tidak sampai lima peratus.

“Industri pelancongan seperti kami wajar dibantu kerana pelancongan wujud apabila adanya pergerakan keluar masuk pelancong,” katanya.

Kata Razmi, satu-satunya langkah yang mampu menghidupkan semula industri pelancongan Langkawi adalah dengan menarik balik larangan rentas daerah dan negeri.

“Kami harap kerajaan dapat mendengar luahan kami yang kini tertekan kerana semakin dibebani kerugian,” jelasnya.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Shuhaimi Salleh, 46, berkata, kebanyakan pelancong yang datang ke Langkawi adalah dari Lembah Klang.

“Pada masa ini bukan sahaja larangan rentas negeri dikuatkuasakan, tetapi juga rentas daerah.

“Jadi, apa yang boleh kami harapkan daripada jumlah pelancong yang akan masuk ke Langkawi,” soalnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI