fbpx

Eksport tempoyak ke Kota London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sembang Korporat

GLOBALISASI ekonomi yang disokong dengan pertumbuhan pelbagai platform jualan online kini membolehkan sesiapa sahaja mengeksport produk mereka di setiap ceruk rantau di seluruh dunia.

Antara pasaran yang berpotensi lagi menguntungkan untuk pemasaran produk tempatan ialah United Kingdom (UK), sebuah negara yang memiliki sejarah hubungan yang cukup panjang dengan Malaysia.

Menetap di UK selama lebih 16 tahun, anak kelahiran Su­bang, Selangor, Simon Suresh berpendapat masyarakat sana memandang produk dari Malaysia sebagai barangan yang eksotik dan tersendiri namun pada masa sama, ia mampu memenuhi cita rasa mereka.

Pengalaman memasak hidangan Malaysia untuk jiran di Wo­kingham, England dan mendapat makluman baik daripada mereka, adalah antara faktor yang memberi inspirasi kepada bekas peguam berusia 54 tahun ini me­nubuhkan dua platform ­e-dagang, iaitu Halal Street UK dan HalalExtra.com yang kini bertujuan untuk membantu memasarkan produk halal tempatan ke negara Big Ben.

Wartawan Kosmo! Ikhwan ­Ideris baru-baru ini berpeluang bertemu Suresh di ibu pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur untuk mengetahui bagaimana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan berpeluang menembusi pasaran UK dan menjana lebih pendapatan dalam suasana ekonomi mencabar sekarang.

Kosmo!: Boleh jelaskan ­lebih lanjut mengenai Halal Street UK dan HalalExtra?
Suresh: Halal Street UK ditubuhkan pada 2014 bertujuan memasarkan produk-produk halal dari Kesatuan Eropah ke UK.

Pelbagai produk dijual menerusi platform ini seperti makanan, ­kosmetik, vitamin dan lain-lain.
Pada 2019, kami memulakan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk membantu PKS tempatan memasarkan produk ke sana.

Kini, kami memiliki sekitar 400 vendor yang menawarkan lebih 1,000 unit simpanan stok (SKU) untuk pelanggan UK.
HalalExtra.com pula merupakan platform perniagaan-ke-perniagaan (B2B) bagi tujuan ­eksport dalam jumlah kuantiti yang lebih besar.

Apa sasaran pelanggan ­Halal Street UK?
Kami memiliki tiga kelompok pelanggan utama, pertama sekali ialah 70,000 rakyat Malaysia yang menetap di UK. Kedua ialah empat juta komuniti Muslim di UK dan mereka ini ialah segmen yang paling pesat bertumbuh di sana.

Ketiga ialah masyarakat bukan Muslim. Mereka ini tidak begitu mementingkan status halal tetapi beminat dengan produk dari Malaysia.

Kenapa penduduk UK mahu membeli barangan dari ­Malaysia, sedangkan terdapat pelbagai produk lain dari ­seluruh pelusuk dunia mudah didapati di sana?
Penduduk sana melihat produk dari Malaysia sebagai eksotik dan sukar diperoleh berbanding produk dari Thailand dan Vietnam yang sudah banyak dijual di kedai-kedai dan pasar raya.

Pengalaman saya sendiri memasak hidangan Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, rendang dan air bandung untuk kenalan yang merupakan penduduk asal UK mendapati cita rasa produk tempatan begitu sesuai dengan selera masyarakat di sana.

Dari segi kos, penghantaran barangan di UK dikenakan 7.99 pound (RM45) untuk setiap kilogram (kg). Penghantaran barangan dari Malaysia ke rumah pelanggan di UK pula adalah 12 pound (RM67), jadi mereka sebenarnya hanya perlu menambah 4 pound (RM22) untuk mendapat barangan dari Malaysia.

 

Apa syarat dan kriteria produk untuk dipasarkan di Halal Street UK?
Seboleh-bolehnya produk mereka mendapat pensijilan Halal Malaysia, namun kami turut menerima produk keluaran Muslim.

Produk mereka juga perlu bertahan sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan.

Selain itu, terdapat juga soal pembungkusan dan label. Antara cara bungkusan yang tidak begitu sesuai bagi tujuan eksport adalah menggunakan botol ke­rana pengendaliannya sukar, jadi kami akan menasihati pengusaha untuk bertukar kepada bentuk tiub atau kaedah lain. Deskripsi produk juga penting.

Kesemua ini dapat diatasi dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Kami memiliki pasukan yang berpengalaman untuk menulis deskripsi produk dengan baik di platform kami.

Kenapa PKS tempatan ­perlu merebut peluang untuk ­memasarkan produk mereka di UK?
Pertama sekali, saya melihat pasaran domestik kini sudah sedikit tepu dengan kebanjiran pelbagai produk terutamanya segmen makanan dan minuman, jadi logik bagi pengusaha berusaha mencari pasaran baharu.

Tarikan utamanya sudah pasti adalah dari segi pulangan. Dalam soal harga, kami memiliki pasukan untuk melakukan sedikit kajian pasaran di UK untuk me­nyarankan harga jualan bersesuaian, namun ia sebenarnya adalah keputusan penuh pembekal.

Kami hanya mengambil 10 peratus daripada harga jualan. Ini sebenarnya kadar yang amat berpatutan berbanding apa yang diterima penjual.

Apa inisiatif Halal Street UK untuk membantu ­pemasaran produk ­Malaysia di UK?
Kami sedar produk yang terbaik dalam kelasnya tidak akan terjual sekiranya pelanggan tidak memiliki pengetahuan tentangnya.

Hari ini, kita boleh jual budu dan tempoyak di London, tetapi setakat menjual tidak mencukupi, kita perlu memperkenalkannya kepada masyarakat sana.

Setiap warga Malaysia di UK berperanan sebagai duta kepada produk Malaysia dan kami me­rancang untuk mengupah orang Malaysia yang menetap di sana untuk menjual produk tempatan di pasar pagi mingguan yang wujud di seluruh UK.

Selain itu, kami juga berhasrat untuk membawa vendor tempatan ke sana supaya mereka boleh memperkenalkan sendiri produk masing-masing selepas situasi mengizinkan.

Apakah perbezaan antara Halal Street UK dengan pelbagai platfrom jualan online lain?
Sebagai satu platform yang dibangunkan oleh rakyat Malaysia sendiri, kami betul-betul mahukan pengusaha tempatan berjaya dan menempa nama di UK.

Ketika pandemik baru-baru ini, kami telah mengambil inisiatif menyerap kenaikan kos penghantaran kerana khuatir ada pengusaha yang mungkin tidak lagi berminat atau berputus asa untuk menawarkan produk mereka.

Kami bernasib baik masalah kos penghantaran ini tidak berpanjangan dan ia telah kembali kepada paras sebelum ini.

Pasukan kami di Malaysia juga bersedia membimbing vendor berminat sehingga produk mereka berjaya dieksport dan kami membuat sesi webinar setiap minggu dengan persatuan usahawan dan PKS untuk membantu menaik taraf operasi dan produk mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI