PETALING JAYA – Bila ada niat untuk mengubah kehidupan dengan berniaga dan seterusnya memberi kesenangan kepada ibu yang selama ini berkorban untuk menyara keluarga, pastinya perniagaan yang dibina bakal menempa kejayaan yang hebat.
Berkat doa ibu, pengasas syarikat Seri Empire Lady Sdn. Bhd., Juzailah Shariff yang menawarkan dua produk popularnya iaitu Seri Lady dan Seri Men bukan sahaja sukses dalam mengukuhkan jenama di pasaran tempatan tetapi juga begitu popular di Singapura.
Pengalaman dibesarkan dalam dunia serba kekurangan dalam komuniti Flat Bandaraya Sri Perak, Sentul, Kuala Lumpur dan berkongsi kasih sayang dengan tiga adik-beradiknya yang lain, wanita ini juga mampu menyediakan sebuah banglo baharu bagi keselesaan ibunya, Sharifah Rauzah Syed Tamrin, 69, mengecapi hari tua dalam persekitaran yang lebih bahagia dan mewah.
Berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang tempoh memulakan perniagaannya sejak tahun 2017, ibu muda berusia 41 ini telah mengambil masa hampir setahun untuk mencuba dan mengamalkan produk Seri Lady sebelum ia diperkenalkan di pasaran semasa.
Dalam kajian dan pembangunan tersebut, lebih 500 testimoni turut diterima daripada pelanggan khususnya daripada rakan serta ahli keluarga yang mencuba dan mengamalkannya.
“Ini cara kami menghasilkan produk berkualiti untuk dipasarkan kepada pelanggan. Lebih menarik, pada peringkat awal promosi produk, kami telah menerima tempahan daripada seorang pelanggan di Singapura.
“Kami sanggup memandu hingga ke Johor Bahru untuk menghantar sendiri produk yang dipesan dan kami tidak menyangka usaha ini berbaloi kerana produk berkenaan telah membantu meningkatkan kualiti kesihatan dirinya sekali gus pelanggan tersebut mahu berkongsi pengalaman dengan lebih ramai pelanggan di Singapura.
“Beliau menjadi stokis utama di Singapura dan berjaya mencatat jualan sehingga RM3 juta,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Juzailah menjelaskan, bermula dari situ, perolehan jualan Seri Lady semakin mengukuh, yang mana hampir 80 peratus daripada perolehan syarikat datangnya daripada jualan di negara berkenaan.
Seri Lady yang dikenali sebagai jamu moden itu memiliki khasiat daripada bahan semula jadi antaranya manjakani, garcinia cambogia, mangga Afrika, kopi hijau, teh hijau, kolagen ikan dan daun serapat dapat membantu meningkatkan kualiti kesihatan wanita secara semula jadi.
Keberkesanan produk Seri Lady yang dijual pada harga RM129.90 sekotak itu telah menerima banyak permintaan daripada pasaran untuk memperkenalkan produk makanan kesihatan khususnya untuk kaum lelaki bagi menambah tenaga dan meningkatkan kesihatan kaum Adam.
Melalui idea kreativiti adiknya, Nazirah yang turut menjadi rakan kongsi perniagaan telah berjaya membangunkan produk keduanya iaitu Seri Men yang mana ia disasarkan kepada golongan lelaki yang berumur antara 25 tahun ke atas.
Produk berkenaan dijual pada harga RM169.90 sekotak.
Selain itu, beliau memberitahu, Seri Empire Lady turut membangunkan Seri Academy untuk membangunkan modal insan bagi melahirkan usahawan yang tahan lasak, serba boleh dan pandai menguruskan perniagaan dengan lebih cekap.
Juzailah memberitahu, latihan bimbingan secara online itu ditawarkan secara percuma kepada mereka yang berdaftar dan mereka berpeluang meningkatkan ilmu mengenai produk, teknik pemasaran dan tip kejayaan oleh speaker jemputan.
Diaju soalan mengenai hubungan kekeluargaan menjadi faktor kekangan bagi mereka untuk mencapai persepakatan dalam membuat sesuatu keputusan dalam perniagaan, Nazirah menjelaskan, pada awalnya, ia agak sukar kerana masing-masing memiliki karakter berbeza dengan sikap ego yang mengundang pergaduhan kecil.
“Kami duduk berbincang bersama dan sesi luah rasa itu berjaya merungkaikan permasalahan kami sehingga tercapailah satu keputusan yang baik dan adil, sehingga di situ bermulanya transformasi pengurusan perniagaan yang lebih profesional.
Juzailah memainkan peranan utamanya sebagai ‘duta’ produk selain aktif mempromosikan produk dan perkhidmatan syarikat manakala Nazirah bertanggung jawab sebagai ‘orang di balik tabir’ dengan sentiasa mencari idea baharu dan merangka strategi bagi perancangan masa depan untuk meningkatkan daya saing syarikat.