KUALA TERENGGANU – Ibu bapa khususya murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua hari ini sibuk membuat persediaan terakhir membeli kelengkapan untuk anak-anak mereka yang akan kembali ke sekolah esok.
Kebanyakan mereka sebolehnya mahu anak masing-masing berpakaian seragam baharu pada hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka walaupun kelonggaran telah diberi kerajaan.
Seorang ibu, Nur Rashidah Rashid, 35, berkata, dia membeli pakaian sukan dan kelengkapan sekolah lain untuk dua anaknya yang berusia lima dan tujuh tahun.
Dia yang menetap di Kampung Kebor Besar, Manir dekat sini berkata, sebahagian kelengkapan sekolah anaknya akan memasuki prasekola dan tahun satu telah dibeli sebelum ini.
“Hari ini, saya beli untuk tambah-tambah apa yang kurang. Sebelum ini, memang saya beli seluar sukan tetapi anak-anak saya pakai dahulu sebelum sekolah sempat dibuka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Seorang lagi ibu, Wan Nur Farhana Wan Bakri, 33, dari Kampung Paloh, Pulau Rusa di sini berkata, dia hanya membeli kasut sekolah untuk anak sulongnya berusia enam tahun yang akan memulakan pembelajaran di Tabika Kemas Pulau Rusa di sini hari ini.
“Saya sengaja tunggu saat akhir untuk membeli kasut sekolah anak kerana tidak mahu membazir dan bersesak-sesak.
“Alhamdulillah pasar raya agak lenggang hari ini kerana ramai sudah membeli awal,” katanya. – K! ONLINE