PETALING JAYA – Sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai sekitar daerah Cheras tumpas dengan penangkapan tiga lelaki tempatan di dua lokasi berasingan di sekitar daerah ini dan juga Cheras semalam.
Dalam operasi yang bermula pukul 12.15 malam itu, kesemua suspek yang berusia lingkungan 27 hingga 30 tahun itu diberkas menerusi Op Kontraban yang dilakukan pasukan polis dari Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih.
Polis juga berjaya merampas 239 botol dan 114 tin minuman keras termasuk tiga buah kenderaan dan empat telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM214,637.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Superintenden Rizal Mohamed berkata, menerusi serbuan pertama, polis berjaya memberkas dua suspek bersama dua buah kenderaan di Jalan Sembilan, Taman Tenaga, Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai sejumlah minuman keras tidak bercukai pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam kenderaan dan juga di sebuah mini mart.
“Suspek turut menunjukkan lokasi penyimpanan di Flat Sri Johor, Cheras dan telah menjumpai sejumlah minuman keras tidak bercukai yang disembunyikan di dalam sebuah kenderaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sejumlah 218 botol dan 114 tin minuman keras tidak bercukai dengan anggaran nilai sebanyak RM8,861 dirampas.
Menurutnya, seorang lagi suspek berjaya diberkas bersama sebuah kenderaan di Jalan Kayu Ara Indah di sini sekitar pukul 12.35 malam.
“Hasil pemeriksaan polis telah menjumpai sejumlah 21 botol minuman keras tidak bercukai yang disembunyikan di dalam kenderaan tersebut yang dianggarkan bernilai RM676.50.
“Kita percaya tangkapan dan rampasan ini berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai sekitar daerah Cheras,” ujarnya.
Katanya, tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Salak South dan Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967. – K! ONLINE