Oleh MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
SEREMBAN- Sesi persekolahan yang bermula esok turut menyebabkan kedai gunting rambut menjadi tumpuan ibu bapa sebelum anak-anak mereka ke sekolah esok.
Tinjauan Kosmo! di sebuah kedai gunting rambut di Bandar Enstek, Nilai, dekat sini, mendapati pelanggan mereka merupakan kanak-kanak yang hadir ditemani ibu bapa masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif, C Cut Management Services Sdn. Bhd, Muhammad Nasrullah Yahya berkata, Kedai Gunting Rambut Team C-Cut miliknya di situ sudah mula menjadi tumpuan ibu bapa sejak semalam untuk menghantar anak masing-masing untuk menggunting rambut.
“Bagi memastikan perkhidmatan kami mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kami mengamalkan sistem tempahan terlebih dahulu kepada pelanggan. Setiap slot kami membenarkan dua orang pelanggan sahaja dalam premis.
“Hari minggu ini kebanyakannya pelanggan kami merupakan kanak-kanak yang akan mula memasuki sekolah esok. Ibu bapa mereka telah membuat tempahan sejak minggu lalu, rata-rata yang datang minggu ini ibu bapa mereka bekerja pada hari biasa, jadi semalam dan hari ini pelanggan kedai kami semuanya kanak-kanak sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Tambah Muhammad Nasrullah lagi, lima cawangan kedai gunting rambut miliknya yang lain di daerah ini juga menghadapi situasi serupa apabila menerima pelanggan dari ibu bapa yang hadir bersama anak masing-masing.
“Memang kami sudah menjangka lebih awal keadaan ini dan malah ada juga ibu bapa yang kecewa kerana slot untuk menggunting sudah penuh, kami perlu ikut SOP walaupun pelanggan kami kanak-kanak,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang ibu, Hasanah Mohamed Izhar, 35, dari Labu Lanjut dekat sini memberitahu, dia telah membuat tempahan awal semalam untuk membawa dua orang anaknya menggunting rambut.
“Walaupun dua orang anak saya masih lagi berusia enam dan empat tahun dan masih lagi di prasekolah, tapi saya tetap mahu lihat mereka dalam keadaan kemas juga.
“Saya sudah buat tempahan sejak semalam dan hari ini baru ada kekosongan. Bagi saya bagus juga mereka buat sistem tempahan macam ini kerana SOP perlu dijaga dan bagi memastikan kedai tidak penuh dengan pelanggan, kami juga selesa,” katanya. -K! ONLINE