TAIPING – Masalah sampah haram di kawasan perumahan di bandar ini termasuk sikap segelintir orang ramai yang suka meletakkan sampah di luar tong umpama tiada kesudahan walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk meletakkan notis peringatan.
Setiap minggu kira-kira 40 tan sampah haram terpaksa dibersihkan petugas Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan ia akan berulang apabila lokasi sama kembali menjadi tempat longgokan sampah haram.
Bagi memantau pembuangan sampah haram dan tabiat membuang sampah di luar tong, MPT melaksanakan inisiatif Projek Rintis Kamera Litar Tertutup Mudah Alih (Portable CCTV) di dua lokasi panas sejak Disember tahun lalu.
MPT dalam satu kenyataan memberitahu, dua lokasi yang menjadi projek rintis adalah di Tong Sampah Pasar Kamunting dan Taman Kota Jaya, Simpang.
Menurut kenyataan tersebut, melalui rakaman CCTV tersebut telah berjaya merakam kegiatan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di luar tong dan secara haram di kedua-dua lokasi berkenaan.
“Rakaman CCTV itu turut berjaya merekodkan nombor pendaftaran pemilik kenderaan yang dikesan membuang sampah di kawasan berkenaan dan pihak MPT akan akan membuat semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenalpasti pemilik kenderaan.
“Pada Disember lalu sebanyak 67 kompaun dikeluarkan berjumlah RM16,750 manakala 18 kompuan berjumlah RM4,500 dikeluarkan sepanjang Januari lepas,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.
Jelas kenyataan itu lagi, penurunan pengeluaran kompaun pada dua bulan tersebut menunjukkan kaedah CCTV berkesan untuk menangani longgokan sampah haram.
Kesalahan membuang sampah haram boleh dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Kebersihan Awam (Majlis Perbandaran Taiping) 1984 (Pk.P.U.18).
Kompaun sehingga RM250 akan dikeluarkan dan jika sabit kesalahan hukuman denda RM2,000, penjara atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan. -K! ONLINE